Thursday, April 25, 2013

Anak Muda Mula Mendekati Islam


Anak muda, pemuda atau golongan muda. Panggillah apa sahaja yang sesuai dengan mereka. Golongan usia yang memiliki keupayaan tinggi, sentiasa bertelagah dalam kehidupan, yang mencari-cari arah hidup dan senantiasa mencari tapak selesa dalam kehidupan ini. Kita sering mendengar laungan bahawa pemuda sebagai agen perubahan, penerus bangsa dan pemimpin masa hadapan. Gelaran-gelaran ini tidak akan diberikan jika pemuda bukan golongan yang istimewa. Mungkin kita perlu diingatkan berulang kali bahawa pemuda berumur 18 tahun, Usamah bin Zaid diangkat oleh Nabi SAW sebagai komander untuk memimpin pasukan kaum muslimin pergi berperang. Walaupun ketika itu terdapat orang yang lebih berusia daripadanya, namun Nabi SAW memberikan tanggungjawab yang besar kepada seorang pemuda kerana meyakini kemampuan golongan ini.

Dalam konteks kehidupan masyarakat Islam, perlu diingatkan bahawa golongan ini mempunyai peranan besar. Mereka diharapkan mampu melahirkan idea-idea baru dan bernas dalam konteks pembangunan negara. Pembangunan tidak akan berjalan jika bergantung harapan kepada golongan yang berpengalaman sahaja.  Tetapi ia merangkumi semua golongan dari tua sehinggalah kanak-kanak. 

Kita perlu akui golongan muda di Malaysia mempunyai pelbagai warna sifat dan ragamnya. Kerapuhan jiwa yang mudah mendekati fenomena hedonisme, keruntuhan akhlak dan ketidakupayaan berfikir menyebabkan wujud seakan-akan awan mendung menggelapkan bumi tercinta ini. Masyarakat selalu mempersoal dan menunjukkan rasa tidak senang dengan kerosakan yang wujud. Seks bebas, rempit dan gejala melepak adalah sebahagian daripada bermacam-macam faktor kegelisahan yang wujud di kalangan ibu bapa. Namun dalam beberapa tahun ini, orang muda berduyun-duyun mendekati agama yakni agama Islam. Alhamdulillah, syukur pada Allah yang memberikan hidayah dan petunjuk kepada sekelian alam.

"Anak muda kita sekarang kini memberi sambutan terhadap program-program islam. Ini disebabkan ulama-ulama dan ustaz-ustaz telah bekerja keras mempromosikan kepada rakyat Malaysia bahawasanya Islam bukan anti kepada kemajuan, bukan anti-sosial, bukan anti-sukan dan bukan anti-hiburan". Itu adalah sebahagian daripada petikan syarahan yang disampaikan Ustaz Azhar Idrus di Setiu, Terengganu pada tahun 2012.

Perkembangan Islam di dunia dan Malaysia secara khususnya akhir-akhir ini sangat positif. Golongan pemuda di Malaysia dilihat begitu bersemangat menyokong perjuangan Islam. Salah satunya dapat dilihat dan dicerahkan apabila beribu-ribu pemuda yang hadir di ceramah-ceramah agama oleh Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Kazim Elias dan tokoh-tokoh agama yang lain. Kita perlu percaya bahawa Islam akan menang  pada suatu masa nanti malah tidak berat rasanya mengungkapkan bahawa tanda-tanda kebangkitan itu telah muncul.

Kewujudan banyak sekolah-sekolah agama, masjid-masjid, program-program agama malah dibantu stesyen Tv al-hijrah akan mencerahkan kegelapan yang ada sebelum ini. Perkara-perkara ini tidak mungkin wujud sekiranya tiada penglibatan golongan muda dalam proses ini. Penguasaan dalam bidang pendidikan, ekonomi, pembangunan fizikal dan sebagainya menguatkan lagi kepercayaan bahawa tanda-tanda kebangkitan itu sudah ada. Sokongan daripada media Islam seperti stesyen Tv, majalah-majalah, radio dan media sosial akan mempercepat Islamisasi masyarakat.

Mengambil petikan daripada koleksi syarahan Ustaz Azhar, beliau memberi penjelasan yang cukup mudah dan ringkas. 

" Sekarang ini, kedudukan Islam seakan-akan seperti roda dan kini ia berada di atas. Tetapi naik ke atas perlu melalui bawah. Kena sakit, kena susah, barulah naik ke atas. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabarani. Sabda Nabi SAW, hendaklah kamu tahu, Islam kadang-kadang di atas, kadang-kadang di bawah, maka hendaklah kamu berpusing mengikut roda Islam. Kalau Islam itu ditindas, kamu perlu bersama dengan Islam. Kalau Islam di atas, kamu perlu bersama dengan Islam juga", kata Ustaz Azhar.

Untuk sesebuah masyarakat berubah ke arah kebaikan , sudah tentu tidak mungkin mengambil masa sehari. Proses ini mungkin mengambil masa beberapa tahun malah berpuluh tahun untuk melihat kejayaan ini. Kita perlu berdoa, rapatkan saf dan percaya bahawa Islam itu adalah benar. Kita hanya merancang tetapi Allah yang menentukan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...